Friday, September 12, 2008

PENGGABUNGAN SPDP-PRS NEGATIF ?

Penggabungan sarawak progresive democratic party (spdp)-parti rakyat sarawak (prs) iaitu parti komponen BN Sarawak telah menjadi suatu isu yang menarik perhatian penyokong kedua-dua parti yang berteraskan kaum Dayak. Pemimpin kedua-dua parti ini sering mengeluarkan kenyataan di akhbar dengan menyatakan bahawa penggabungan ini akan berlaku sebelum pilihan raya DUN Sarawak ke-10 nanti.
Namun demikian, banyak perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan terlebih dahulu sebelum penggabungan ini menjadi kenyataan. Antaranya ialah siapa yang akan menjadi Presiden parti gabungan tersebut dan menganggotai Ahli Majlis Tertinggi Parti. Untuk rekod, spdp mempunyai 4 kerusi parlimen dan 8 kerusi DUN manakala prs mempunyai 6 kerusi parlimen dan 9 kerusi DUN.Jika penggabungan ini menjadi kenyataan, parti baru ini akan mempunyai 10 kerusi parlimen dan 17 kerusi DUN. Penggabungan kedua-dua parti ini pastinya akan dapat mengukuhkan kedudukan BN khasnya di kerusi yang berteraskan kaum Dayak dan juga kawasan luar bandar.
Penggabungan seperti yang dinyatakan sebelum pilihan raya DUN ke-10 nanti sebenarnya memberi banyak kesan negatif kerana dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Kedua-dua parti mempunyai masalah dalamannya tersendiri yang perlu diselesaikan sebelum penggabungan ini menjadi kenyataan. SPDP misalnya dikatakan 'dikawal' oleh Dato Seri Tiong dan juga masalah ketidakpuasan hati para penyokong Datuk Dr.Tiki Lafi. PRS pula dikatakan ada masalah ketidakpuasan hati kumpulan Larry Sng Wei Shien walaupun isu ini dikatakan telah dapat diselesaikan oleh kepimpinan parti. Oleh itu, penggabungan SPDP-PRS pastinya akan mengundang banyak masalah jika ia dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa.
Kesimpulannya, penggabungan sesebuah parti politik adakalanya membawa kebaikan kepada kerjasama dan pembangunan tetapi ia juga boleh dikatakan sebagai bermulanya bencana baru kepada sesuatu gabungan tersebut. Oleh itu, bagi para penyokong kedua-dua parti ini 'TEPUK DADA TANYALAH HATI DAN AKAL FIKIRAN' sebelum membuat sebarang keputusan.