Monday, October 6, 2008

GOVERNMENT-LINKED COMPANIES (GLCs) - ADILKAH PEMBAHAGIANNYA ?

Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan satu kerajaan hasil perkongsian kuasa diantara 13 buah parti komponen yang mewakili pelbagai etnik, agama dan juga perbezaan ideologi. Namun demikian, BN seperti hanya mementingkan suara dan pandangan parti-parti utama seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PBB dan PBS tetapi seperti meminggirkan kepentingan parti-parti komponen BN yang lebih kecil.

Misalnya, parti-parti komponen BN yang lebih kecil seperti tidak diperakui kewujudan ataupun kurang diakui kemampuan mereka. Hal ini dapat dilihat melalui 'Government-Linked Companies (GLCs)' yang mana pengerusi syarikat yang berkepentingan kerajaan hanya dilantik daripada komponen-komponen BN yang utama sahaja.

Perkara yang berkaitan dengan GLCs ini pernah dibangkitkan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) seperti yang dinyatakan oleh Presiden PRS, YB Dato Sri Dr. James Masing , supaya pihak kerajaan BN berlaku lebih adil kepada komponen parti-parti yang lain. Menurut Dr.Masing, dengan kekuatan parti yang mempunyai 6 kerusi parlimen dan 8 kerusi DUN, adalah patut supaya PRS diberikan satu atau dua jawatan pengerusi bagi syarikat yang berkepentingan kerajaan bukan hanya di negeri Sarawak tetapi juga di peringkat nasional.

Kesimpulannya, pembahagian secara adil bagi jawatan pengerusi syarikat yang berkepentingan kerajaan adalah perlu supaya tiada rasa kecil hati dan dianaktirikan oleh parti-parti yang kecil dalam BN. Oleh itu, parti-parti yang mempunyai kekuatan yang sederhana (berdasarkan jumlah kerusi yang diwakili) seperti PRS, SPDP dan UPKO seharusnya diberi peluang supaya ada wakil mereka dilantik sebagai PENGERUSI bagi syarikat yang berkepentingan kerajaan.